AGAMA

Fahami erti sebenar Aidilfitri

UMAT Islam diingatkan supaya memahami makna sebenar Aidilfitri dan kepentingan meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT selepas pemergian bulan penuh keberkatan, Ramadan Al Mubarak.

Melalui khutbah Hari Raya Aidilfitri semalam, Pengerusi Kolej Islam As Sofa, Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin berkata, makna Aidilfitri yang sebenar bukanlah pada kemeriahan duniawi seperti pakaian baru atau perhiasan luar, tetapi pada peningkatan ketaatan kepada Allah SWT.

PENGERUSI Kolej Islam As Sofa, Datuk Syeikh Muhammad Fuad menyampaikan khutbah selepas solat sunat Aidilfitri di Hulu Langat semalam.

Beliau memulakan khutbah tersebut dengan memetik kata-kata peringatan yang indah daripada pengarang kitab Hikam, Al Imam Abi Madyan RA untuk direnungi.

“Hari raya bukanlah bagi mereka yang sekadar memakai pakaian baru, tetapi hari raya adalah bagi mereka yang bertambah ketaatannya.

“Hari raya bukanlah bagi mereka yang berhias dengan pakaian dan kenderaan mewah, tetapi hari raya adalah bagi mereka yang telah diampunkan dosanya.

“Hari raya adalah penyambungan hubungan dengan Allah,” katanya pada majlis yang dianjurkan di Kolej Islam As Sofa kampus Hulu Langat itu.

Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin

Menurut beliau lagi, hari raya sejati adalah bagi mereka yang berjaya menyucikan diri, memperbaiki hubungan dengan Allah dan meraih pengampunan daripada-Nya.

Selain itu, Syeikh Fuad turut memetik kata-kata berikut: “Penyambungan hubungan dengan Allah adalah hari raya bagi para pencinta-Nya.”

Beliau mengingatkan bahawa kegembiraan yang sebenar dalam Islam adalah apabila seorang hamba semakin mendekatkan diri kepada Allah.

“Oleh itu, hari raya yang sebenarnya adalah untuk mereka yang dapat merasakan kedekatan dengan Allah SWT, bukan sekadar kegembiraan yang bersifat sementara seperti kemewahan duniawi,” jelasnya.

Dalam khutbah tersebut, Syeikh Fuad menegaskan bahawa Aidilfitri yang sebenar adalah dalam bentuk peningkatan ketaatan dan kedekatan dengan Allah.

Pada majlis itu turut diadakan periwayatan musalsal dan sanad yang sampai kepada Rasulullah SAW mengenai hari raya.

Justeru, beliau mengajak seluruh umat Islam untuk merenung kembali amalan-amalan sepanjang Ramadan dan memastikan bahawa kita menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan hati yang bersih dan bebas daripada dosa.

“Mereka yang paling beruntung adalah mereka yang dapat merayakan hari raya dalam keadaan suci, diampuni dosa-dosanya dan kembali dengan hati yang penuh rasa syukur,” ujarnya.

Di akhir khutbah, beliau turut berdoa agar umat Islam dikurniakan ‘Aid Mustamir iaitu hari raya yang berterusan dan sentiasa menjaga hubungan yang baik dengan Allah SWT.

Semoga kita terus dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya, bukan hanya pada hari raya, tetapi sepanjang hidup di dunia dan akhirat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button