‘Alangkah jahatnya kalian, terus-menerus cuba guling takhta Tuanku Muhriz’
SEREMBAN – Timbalan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan mendakwa wujud percubaan menggulingkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz, membabitkan mantan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada empat parti politik.
Menurut beliau, wakil daripada UMNO, MCA, PAS dan Wawasan didakwa berpakat serta memberi arahan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) supaya mewartakan pelucutan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau mendakwa, apabila SUK tidak melaksanakan arahan berkenaan, barisan mantan Exco terbabit kemudiannya bertindak menggantung tugas SUK bagi membolehkan arahan berkenaan dilaksanakan oleh pengganti SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri.
“Alangkah jahatnya kalian, terus-menerus mencuba untuk mengguling takhta kedaulatan Tuanku Muhriz, dengan dua keputusan mesyuarat sebulat suara ke arah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Edy turut mendakwa tindakan berkenaan bercanggah dengan ikrar taat setia yang dilafazkan ketika pelantikan sebagai Exco Kerajaan Negeri.
Katanya, mantan Exco terbabit sebelum ini telah menarik balik perkenan pelantikan mereka selepas didakwa ingkar terhadap sumpah taat setia kepada Tuanku Muhriz.
Dalam pada itu, beliau mendakwa perbuatan berkenaan boleh mendedahkan individu terbabit kepada tindakan di bawah Seksyen 121B Kanun Keseksaan, berkaitan komplot terhadap Raja.
Bagaimanapun, dakwaan mengenai implikasi undang-undang itu merupakan pandangan politik yang dinyatakan Edy dan sebarang kesalahan jenayah hanya boleh ditentukan melalui proses undang-undang.
Mengulas langkah seterusnya, Edy menggesa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, supaya segera menyenaraikan Exco baharu daripada 14 lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN-PN bagi menggantikan mantan Exco yang didakwanya tidak lagi berfungsi dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau berkata, kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan kelancaran fungsi Kerajaan Negeri.
Edy turut menggesa semua mantan Exco terbabit mengosongkan pejabat masing-masing dan memulangkan kenderaan rasmi kerajaan yang digunakan ketika memegang jawatan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








