POLITIK

PKR tidak boleh berpecah, polemik dalaman jejaskan keyakinan rakyat

JOHOR BHARU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh berpecah atau terus dibelenggu polemik dalaman kerana ia berisiko melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Naib Presidennya, Datuk Seri R Ramanan berkata, kekuatan sebenar parti terletak pada kesatuan hati dan disiplin dalam kalangan jentera di semua peringkat.

Menurutnya, perbezaan pandangan tidak seharusnya dizahirkan secara terbuka sehingga memberi ruang kepada pihak lawan memanipulasi keadaan.

“Ini bukan masanya untuk kita berbalas kenyataan di luar. Setiap perbezaan pandangan perlu diselesaikan secara dalaman demi menjaga kekuatan parti,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PKR Johor yang turut dihadiri Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, beliau turut menegur sikap segelintir individu yang dilihat kerap mengkritik parti secara terbuka, sekali gus menjejaskan imej dan kestabilan dalaman.

Kenyataan tersebut dilihat merujuk kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang sebelum ini sering mengeluarkan pandangan kritikal terhadap hala tuju parti dan kepemimpinan.

Ramanan turut berkata, dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kestabilan politik serta keyakinan rakyat terhadap kerajaan perlu terus dipelihara.

“Jentera PKR khususnya di Johor perlu memperkemas gerak kerja, memperkukuh organisasi serta bergerak sebagai satu pasukan yang tersusun bagi memastikan kekuatan parti terus utuh.

“Kesatuan, kesetiaan dan fokus terhadap perjuangan mesti mengatasi kepentingan peribadi mana-mana pihak,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button