BERITA SEMASA

Ejen provokasi perkauman akan ditangkap – Ramanan

PUTRAJAYA – Menteri Sumber Manusia merangkap Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan memberi amaran bahawa mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi berkaitan agama dan kaum akan berdepan tindakan tegas pihak berkuasa.

Beliau berkata, tindakan segelintir individu yang didakwa cuba menimbulkan ketegangan kaum bukan sahaja berpotensi mencetuskan huru-hara, malah boleh merosakkan keharmonian masyarakat serta nama baik parti.

Menurutnya, isu berkenaan telah dibincangkan secara panjang lebar termasuk di peringkat Kabinet sebelum ini.

“Jangan ingat sebab kita berdiam diri, kita tidak buat apa-apa. Kita berharap mereka mungkin bertaubat, lebih-lebih lagi dalam bulan puasa ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, semua pihak perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan yang menjamin keselamatan serta hak setiap rakyat tanpa mengira kaum.

“Negara kita ada undang-undang dan Perlembagaan. Ia menjamin keselamatan semua kaum Melayu, Cina dan India. Jangan langgar atau salah guna perkara ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ramanan turut mengingatkan agar isu sensitif melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) tidak dimainkan demi kepentingan politik.

“Tindakan sedemikian tidak sihat dan boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Saya menyeru pihak polis mengambil tindakan terhadap semua pihak yang melanggar undang-undang,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button