BERITA SEMASA

Kerajaan semak semula gaji minimum RM1,700

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menyemak semula kadar gaji minimum RM1,700, dengan keputusan muktamad untuk mengekal atau menaikkan jumlah itu akan dibuat Majlis Perundingan Gaji dan Gig Negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, semakan itu akan mengambil kira indikator asas seperti pendapatan garis kemiskinan dan gaji penengah untuk mengukur keperluan asas pekerja serta keupayaan kewangan majikan.

Menurutnya, semakan itu juga akan mengambil kira indeks harga pengguna, produktiviti buruh dan kadar pengangguran.

“Setakat ini, pihak kementerian tidak melaksanakan kajian khusus berkaitan gaji kehidupan wajar. Bagaimanapun, Bank Negara memperkenalkan konsep gaji kehidupan wajar pada 2018 dengan menganggarkan gaji kehidupan wajar di Kuala Lumpur contohnya RM2,700 untuk individu bujang.

“Perbelanjaan asas kehidupan wajar yang diperkenalkan Jabatan Perangkaan, di mana kadarnya lebih granular mengikut lokasi, demografi dan corak perbelanjaan isi rumah sebenar.

“Dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 turut menggariskan strategi reformasi pasaran buruh, antaranya mempercepat pelarasan gaji melalui semakan gaji minimum dengan mengambil kira gaji kehidupan wajar dan akan disyorkan kepada kerajaan untuk gaji minimum akan datang,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Kadar gaji minimum RM1,700 dikuatkuasakan sejak Ogos 2025 dan terpakai kepada semua pekerja di Malaysia, kecuali pembantu rumah dan perantis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button