BERITA SEMASA

Pasaran buruh kekal kukuh, KESUMA aktif bantu pekerja kembali bekerja

KUALA LUMPUR – Pasaran buruh negara terus menunjukkan daya tahan yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) giat melaksanakan pelbagai intervensi bagi membantu pekerja yang terkesan mendapatkan peluang pekerjaan baharu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan Ramakrishnan berkata, usaha berterusan sedang dipergiat melalui program peningkatan kemahiran, latihan semula dan peralihan kerjaya bagi memastikan tenaga kerja negara kekal relevan dengan keperluan industri semasa.

Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi mempercepatkan penempatan semula pekerja ke sektor yang mempunyai permintaan tinggi selain memperkukuh daya tahan pasaran buruh negara.

“Kita terus memberi tumpuan kepada usaha menyelaraskan kemahiran tenaga kerja dengan keperluan industri masa hadapan menerusi pelbagai program peningkatan dan latihan semula kemahiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pekerja juga digalakkan memanfaatkan platform digital seperti Labour Market Exchange (LMX) dan MYFutureJobs Galaxy bagi mendapatkan maklumat pasaran kerja yang lebih komprehensif serta meneroka peluang pekerjaan yang bersesuaian.

Pada masa sama, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut memperkukuh sokongan kepada pekerja menerusi program intervensi awal, peningkatan kemahiran dan peralihan kerjaya khususnya dalam sektor yang berisiko tinggi.

Ramanan berkata, walaupun terdapat cabaran dalam beberapa sektor ekonomi susulan penstrukturan semula organisasi dan pelarasan operasi syarikat, asas pasaran buruh negara masih kekal kukuh.

Menurutnya, sehingga April 2026, jumlah tenaga buruh negara mencecah 17.33 juta orang dengan kadar pengangguran kekal rendah pada 3.0 peratus, manakala kadar penyertaan tenaga buruh berada pada 70.9 peratus.

“Ini menunjukkan pasaran buruh Malaysia masih berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi semasa,” katanya lagi.

Tambah beliau, KESUMA akan terus memantau perkembangan ekonomi dan geopolitik global bagi memastikan langkah intervensi dapat dilaksanakan lebih awal dalam mengurangkan risiko kehilangan pekerjaan serta menjamin daya saing tenaga kerja negara pada masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button