Nasib Ah Aik bukti keperluan RUU Lindung 24 Jam diluluskan segera – Steven Sim
KUALA LUMPUR – Kisah malang seorang pekerja, Ah Aik, 53, menjadi bukti jelas keperluan Rang Undang-Undang (RUU) Lindung 24 Jam diluluskan segera bagi memastikan perlindungan sosial pekerja benar-benar selari dengan realiti kehidupan seharian, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Beliau berkata, sistem perlindungan pekerja tidak wajar terikat kepada takrifan sempit ‘bencana kerja’ yang hanya mengambil kira laluan lurus antara rumah dan tempat kerja, sebaliknya perlu merangkumi rutin sebenar pekerja yang melibatkan urusan harian seperti menghantar anak, membeli makanan atau keperluan asas keluarga.
Menurutnya, perkara itu dizahirkan menerusi satu hantaran di Facebook yang turut mengisahkan nasib Ah Aik, seorang penjaga stor yang hampir terpinggir daripada perlindungan keselamatan sosial meskipun mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Ah Aik mengalami kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja sehingga tulang lutut kirinya pecah dan kaki kiri patah, menyebabkan beliau tidak mampu berjalan dan terpaksa bergantung kepada tongkat,” katanya.
Tambah Steven, keadaan lelaki itu bertambah perit apabila beliau diberhentikan kerja tanpa disedari selepas menerima sepucuk surat daripada majikan yang disangka sebagai bantuan, namun hakikatnya merupakan surat pemecatan.

“Tuntutan PERKESO beliau pada peringkat awal pula ditolak kerana kegagalan mengemukakan dokumen lengkap, menyebabkan Ah Aik kehilangan sumber pendapatan ketika anak-anaknya masih bersekolah dan isterinya hanya bekerja sebagai operator kilang jahit dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan,” katanya.
Steven berkata, selepas menerima panggilan daripada Ah Aik yang buntu memikirkan masa depan keluarga, beliau membantu melengkapkan permohonan serta mengemukakan rayuan rasmi kepada PERKESO mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang.
“Hari ini kami hadir ke rumah Ah Aik bersama wakil rakyat dan PERKESO Pulau Pinang dengan berita gembira. Rayuan beliau berjaya dan satu cek berjumlah RM9,100 diserahkan sebagai bantuan awal,” katanya.
Menurutnya, PERKESO turut menguruskan faedah lain termasuk rawatan pemulihan serta membantu Ah Aik mendapatkan pekerjaan baharu melalui inisiatif MyFutureJobs apabila kesihatannya pulih kelak.
Steven menjelaskan, kes Ah Aik diiktiraf sebagai bencana kerja kerana kemalangan berlaku ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, sekali gus melayakkannya menerima perlindungan di bawah PERKESO.
Bagaimanapun katanya, ramai lagi pekerja tidak bernasib baik apabila kemalangan berlaku selepas singgah membeli makanan, menghantar anak atau menjalankan urusan harian lain, menyebabkan kes mereka tidak diiktiraf sebagai bencana kerja walaupun caruman dibayar setiap bulan.
“Inilah sebab utama saya memperjuangkan Lindung 24 Jam. Kehidupan sebenar pekerja tidak bergerak mengikut garis lurus di atas kertas. Sistem perlindungan sosial mesti mengikut realiti hidup rakyat,” tegasnya.
Beliau memaklumkan, RUU Lindung 24 Jam telah diluluskan di Dewan Rakyat awal bulan ini dan dijadual dibentangkan di Dewan Negara pada 17 Disember bagi memastikan lebih ramai pekerja menerima perlindungan menyeluruh tanpa mengira masa dan keadaan berlakunya kemalangan.
“Saya berharap RUU ini dapat diluluskan dan dilaksanakan secepat mungkin supaya lebih ramai pekerja dapat menikmati manfaat seperti yang diterima Ah Aik,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








