BERITA SEMASA

PERKESO sedia opsyen ‘opt-out’ LINDUNG 24 Jam mulai Isnin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menyediakan kemudahan secara dalam talian bagi pekerja tempatan yang ingin memilih opsyen dikecualikan (opt-out) daripada Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) bermula Isnin ini, susulan keputusan Jemaah Menteri mengubah pelaksanaan skim berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan Kabinet yang menetapkan skim itu tidak lagi diwajibkan kepada pekerja tempatan, namun kekal mandatori bagi pekerja asing.

Beliau berkata, walaupun dasar itu diubah, PERKESO tetap menggalakkan pekerja tempatan untuk terus mencarum kerana skim berkenaan menyediakan perlindungan kewangan sekiranya pencarum ditimpa kemalangan di luar waktu bekerja.

“Mengikut statistik, purata sekitar 27 kes setiap hari direkodkan PERKESO untuk penyaluran faedah LINDUNG 24 Jam hampir RM2 juta dalam tempoh sebulan skim ini berkuat kuasa.

“Kadar ini lebih tinggi berbanding sekitar 13 kes permohonan setiap hari yang terpaksa ditolak oleh PERKESO pada 2025 kerana dikategorikan sebagai bukan bencana kerja, sekali gus mencerminkan keberkesanan LINDUNG 24 Jam bagi menampung kelangsungan hidup pencarum dan waris.

“Justeru, faedah yang disediakan melalui caruman berkadar rendah ini tidak wajar dipandang ringan kerana ia adalah sandaran utama di saat bencana merencatkan kehidupan,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat PERKESO, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perubahan dasar itu berkemungkinan memberi kesan terhadap kemampanan dana serta keberkesanan penyaluran faedah skim berkenaan dalam jangka panjang.

Sehubungan itu, katanya, PERKESO bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan menjalankan kajian semula terhadap mekanisme pelaksanaan LINDUNG 24 Jam menjelang penghujung tahun ini.

“PERKESO akan terus mempergiat usaha penyampaian maklumat yang jelas dan tepat bagi memastikan setiap pekerja memahami manfaat LINDUNG 24 Jam supaya mereka memilih keputusan terbaik demi masa depan mereka serta keluarga.

“Sebagai agensi di bawah KESUMA, PERKESO kekal berpegang teguh pada misi utama untuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara tanpa mengetepikan suara dan kebajikan pencarum,” katanya.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, pekerja tempatan yang memilih untuk tidak meneruskan penyertaan dalam skim berkenaan perlu melengkapkan perakuan pelepasan liabiliti sebagai syarat untuk menggunakan opsyen opt-out.

Menurutnya, perakuan itu penting sebagai asas perundangan sekiranya timbul sebarang pertikaian pada masa hadapan, khususnya membabitkan kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja.

“Memandangkan LINDUNG 24 Jam ini dikuatkuasakan menurut peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), justeru pencarum yang ingin ‘opt-out’ daripada LINDUNG 24 Jam perlu menandatangani perakuan pelepasan liabiliti untuk dikecualikan daripada pemakaian akta ini.

“Ini untuk memastikan tiada sebarang implikasi perundangan di bawah Akta 4 jika berlaku kemalangan atau kecederaan kepada pencarum di luar waktu kerja,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button