Piala Dunia 2026: Haaland usik Rooney, tuntut tunai janji berkayuh di Sungai Mersey
MIAMI – Penyerang Norway, Erling Haaland mengusik legenda England, Wayne Rooney agar mengotakan janjinya untuk mendayung di sungai selepas Norway mengejutkan Brazil 2-1 dan melangkah ke suku akhir Piala Dunia FIFA 2026.
Rooney sebelum ini secara berseloroh berkata dia sanggup mendayung di Sungai Mersey sekiranya Norway berjaya mara ke kelompok lapan terbaik, ketika menjadi penganalisis di BBC Sport selepas kemenangan Norway ke atas Ivory Coast pada 30 Jun lalu.
“Jika Norway mara ke suku akhir, saya akan turun ke Sungai Mersey dan mendayung di situ,” katanya.
Namun, kemenangan mengejut Norway ke atas Brazil menyaksikan pasukan Scandinavia itu mengesahkan tempat ke suku akhir dan bakal berdepan England di Miami dalam perlawanan awal pagi esok.

Menjelang pertemuan itu, Haaland mengambil peluang mengingatkan Rooney mengenai janji tersebut sambil merujuk kepada sambutan ‘Viking Row’ yang menjadi simbol kebangkitan Norway sepanjang kejohanan.
“Wayne Rooney kata dia akan berkayuh jika kami mara ke suku akhir. Jadi Wayne Rooney, saya harap awak tunaikan janji itu dan pergi berkayuh,” kata Haaland sambil ketawa.
Mengulas kenyataan Haaland, Rooney mengakui dia mungkin tidak sepatutnya membuat janji berkenaan.
“Ya, saya tak akan buat perkara macam itu lagi,” katanya secara berseloroh.
Bekas penyerang Manchester United itu kemudian bergurau dengan berkata bekas rakan sepasukannya dalam skuad England, Micah Richards, akan menemaninya.
“Tapi tak mengapa, Meeks (Micah Richards) akan ikut sekali,” katanya.
Richards pantas menyampuk sambil ketawa.
“Saya tak tahu kenapa awak asyik libatkan saya!”
Rooney kemudian mendedahkan mereka kini merancang untuk merealisasikan cabaran itu bersama bekas penjaga gol England, Joe Hart.
“Saya, Meeks dan Harty (Joe Hart), kami semua akan sertai. Kami cuma sedang cuba mengatur supaya dapat melakukannya di Sungai Hudson, New York,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















