Argentina bangkit tumbangkan England 2-1, mara ke final Piala Dunia
ATLANTA – Juara bertahan, Argentina menempah tiket ke final Piala Dunia selepas bangkit menewaskan England 2-1 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Atlanta pada Rabu.
England yang memburu penampilan pertama di pentas final sejak 1966 terlebih dahulu berada di hadapan apabila Anthony Gordon meledak gol pembukaan pada minit ke-55, sekali gus meletakkan skuad kendalian mereka di landasan terbaik untuk melakar kejutan.
Namun, Argentina yang diterajui kapten Lionel Messi enggan mengalah dan meningkatkan asakan pada penghujung perlawanan.
Messi menjadi arkitek kebangkitan Argentina apabila mencipta peluang untuk Enzo Fernandez menyamakan kedudukan pada minit ke-85, sebelum sekali lagi memainkan peranan penting dengan melakukan hantaran lintang yang disudahkan Lautaro Martinez menerusi tandukan pada minit kedua masa kecederaan bagi memastikan kemenangan dramatik 2-1.
Kedua-dua pasukan melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama bagi aksi yang disaksikan 68,239 penonton itu.
Kemenangan tersebut menyaksikan Argentina mara ke final untuk mempertahankan kejuaraan dan bakal berdepan Sepanyol pada Ahad, manakala England akan bertemu Perancis dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada Sabtu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








