Piala Dunia: Neymar kembali veraksi, Brazil tewaskan Scotland 3-0
MIAMI – Ikon bola sepak Brazil, Neymar
membuat penampilan pertamanya dalam kejohanan Piala Dunia 2026 ketika Brazil mencatat kemenangan 3-0 ke atas Scotland di Miami awal pagi tadi.
Pemain berusia 34 tahun itu dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-76 selepas terlepas dua perlawanan pertama menentang Maghribi dan Haiti akibat kecederaan.
Brazil sebenarnya tidak banyak terjejas tanpa kehadirannya setakat ini, khususnya dalam perlawanan tersebut.
Vinicius Junior menjaringkan dua gol untuk meningkatkan jumlah jaringannya kepada empat gol dalam kejohanan, manakala Matheus Cunha menjaringkan gol ketiganya.
Cunha sebelum ini meledak dua gol ketika menentang Haiti dalam penampilan pertamanya sebagai pengganti Igor Thiago.

Walaupun kemenangan Brazil menjadi tumpuan, perhatian utama terarah kepada tahap kecergasan Neymar dan kesediaannya untuk mengharungi baki kejohanan.
Impaknya sebagai pemain gantian berpotensi menjadi faktor penting dalam menentukan kemampuan Brazil untuk melangkah lebih jauh.
Di bawah kendalian Carlo Ancelotti, Brazil dilihat semakin mantap sebagai satu pasukan dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Perkara itu penting memandangkan cabaran lebih sukar bakal menanti, terutama selepas keputusan seri 1-1 menentang Maghribi yang menunjukkan pasukan itu memerlukan lebih banyak ketajaman di jentera serangan.
Neymar menamatkan perlawanan dengan 24 sentuhan bola, mencipta tiga peluang dan melakukan satu percubaan tepat ke sasaran. Bagaimanapun, sedikit kekurangan dari segi kecergasan fizikal masih dapat dilihat selepas tempoh panjang berehat.
Kali terakhir Neymar mewakili Brazil adalah pada Oktober 2023 ketika pasukannya tewas 0-2 kepada Uruguay.
Dalam perlawanan itu, dia terpaksa diusung keluar selepas mengalami kecederaan serius yang kemudian disahkan sebagai koyakan ligamen anterior cruciate (ACL) dan meniskus.
Kecederaan tersebut menyebabkan Neymar tidak cukup cergas untuk disenaraikan dalam skuad Brazil ke Copa America 2024. Namun, Neymar berjaya memperoleh tempat dalam skuad 26 pemain pilihan Ancelotti untuk Piala Dunia 2026, yang berkemungkinan menjadi penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








