BISNES & EKONOMI

Bank Rakyat catat untung RM1.9 bilion, dividen 18 peratus

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2025, dengan jumlah aset mencecah RM131 bilion.

Prestasi itu membolehkan bank koperasi berkenaan mengumumkan dividen sebanyak 18 peratus iaitu kadar tertinggi dalam tempoh 10 tahun, membabitkan pembayaran RM534.7 juta kepada lebih 783,000 anggota.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, prestasi kewangan itu perlu diterjemahkan kepada manfaat kepada anggota, pelanggan dan masyarakat.

“Sebagai sebuah bank koperasi, pertumbuhan Bank Rakyat perlu diterjemahkan kepada nilai yang dapat dikongsi bersama.

“Keuntungan bukanlah matlamat akhir, sebaliknya menjadi pemangkin untuk memperkukuh anggota, menyokong pelanggan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi yang inklusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bank Rakyat yang kini mempunyai lebih sembilan juta pelanggan disokong 148 cawangan di seluruh negara, selain rangkaian perkhidmatan perbankan digital.

Dalam memperluas akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Bank Rakyat turut menyediakan program khusus termasuk BR PROSPER-i dan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i).

Sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-72, Bank Rakyat berkata, fokusnya kekal untuk memperkukuh peranan sebagai institusi kewangan Islam yang inklusif serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button