Musolla Al Falah agih 800 pek bubur lambuk
KAJANG – Sebanyak 800 bekas bubur lambuk berjaya diagihkan Musolla Al Falah, Pangsapuri Miro dalam program anjuran bersama Ahli Parlimen Bangi, Bank Rakyat Cawangan Kajang dan Jabatan Penerangan Daerah Hulu Langat hari ini.
Program yang disempurnakan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan di dewan utama kediaman itu dijayakan oleh penyertaan kira-kira 50 penduduk termasuk ahli jawatan kuasa musolla.
Beliau berkata, program melibatkan penyertaan komuniti setempat itu diharap dapat diterapkan sebagai semangat masyarakat Malaysia yang hidup saling menghormati, bertoleransi, serta bekerjasama.
“Saya bangga melihat pemimpin komuniti saling bekerjasama dalam menganjur dan mengambil peranan memupuk perpaduan masyarakat dalam komuniti.
“Program seumpama ini diharap dapat diteruskan dari semasa ke semasa dan bukan hanya diadakan pada bulan Ramadan,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Hadir sama Pegawai Penerangan Daerah Hulu Langat, Sallehuddin Kliwon; Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kajang, Nazatussima Ali @ Abu Bakar; Pengerusi Musolla Al Falah, Ahmad Nashriq Zariffuddin dan Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Miro, Abd. Halim Hadi.

Syahredzan sebelum itu mengagihkan pek bubur lambuk kepada penduduk di tiga pangsapuri berhampiran iaitu Pangsapuri Anggerik, Pangsapuri Mawar dan Pangsapuri Dahlia melalui wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Putra Kajang masing-masing.
Pada majlis itu juga, Bank Rakyat Cawangan Kajang menaja pek agihan kepada 100 anggota dari Balai Polis Kajang dan Balai Polis Bandar Baru Bangi.
Sementara itu, Nazatussima berkata, kerjasama dengan Musolla Al Falah adalah yang julung kali diadakan pihaknya dan akan diteruskan pada masa akan datang.
“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat kami kepada anggota keselamatan sebagai menghargai tugas mereka.
“Semoga program seperti dapat diteruskan dan mengeratkan lagi hubungan penduduk setempat dengan pihak berkuasa,” katanya.
Agihan kepada dua balai diterima oleh Ketua Polis Balai Kajang, Inspektor Sheewady dan Ketua Polis Balai Bandar Baru Bangi, Inspektor Nasri manakala agihan kepada Jabatan Penerangan Daerah Hulu Langat, diwakili Sallehuddin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















