Bank Rakyat perkasa literasi kewangan, himpun lebih 1,200 pengunjung
KUALA LUMPUR – Bank Rakyat terus memperkukuh usaha meningkatkan literasi dan keterangkuman kewangan masyarakat menerusi penganjuran Program Bulan Literasi Kewangan 2026 yang menghimpunkan lebih 1,200 pengunjung serta penyertaan lebih 37 institusi pendidikan.
Program yang berlangsung di Kompleks Pembangunan Asnaf Lembaga Zakat Negeri Kedah itu memberi tumpuan kepada amalan menabung, pengurusan wang secara berhemah serta penggunaan perbankan digital dengan selamat, khususnya dalam kalangan komuniti yang mempunyai akses terhad kepada perkhidmatan kewangan.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, program bertemakan ‘Bijak Wang Dulu, Tenang Bila Perlu’ itu mencerminkan komitmen berterusan institusi berkenaan untuk memperluas pendidikan kewangan supaya masyarakat mampu membuat keputusan kewangan yang lebih bijak.

“Perancangan kewangan yang berkesan bermula dengan langkah kecil yang konsisten seperti menabung, berbelanja mengikut kemampuan dan memanfaatkan kemudahan digital secara bijak serta bertanggungjawab.
“Apabila masyarakat memiliki tahap literasi kewangan yang tinggi, mereka lebih bersedia menghadapi sebarang cabaran ekonomi serta berupaya merancang masa depan dengan yakin,” menurut kenyataan itu.
Program berkenaan turut menyokong pelaksanaan Bulan Literasi Kewangan anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), yang dipengerusikan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Menurut Bank Rakyat, usaha mendekati komuniti menerusi pendidikan kewangan itu sejajar dengan aspirasi #UntukSemua dengan penekanan terhadap golongan yang masih berdepan kekangan akses kepada pengetahuan dan kemudahan kewangan.
Antara pengisian utama program ialah empat sesi perkongsian berkaitan pengurusan kewangan, kesejahteraan kehidupan, penggunaan perbankan digital serta pencegahan penipuan jenayah siber dan digital.
Turut diadakan sesi penerangan pengurusan kewangan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Alor Setar bagi meningkatkan kefahaman peserta mengenai pengurusan kewangan yang lebih teratur.
Penganjuran di Alor Setar tahun ini meneruskan usaha Bank Rakyat mendekati komuniti selepas program seumpamanya di Tenom, Sabah pada 2023, Kota Bharu, Kelantan pada 2024 dan Bintulu, Sarawak pada 2025.
Pada majlis sama, Bank Rakyat turut menyerahkan zakat berjumlah RM347,250 kepada 24 sekolah di sekitar Alor Setar.
Yayasan Bank Rakyat pula menyampaikan bantuan awal persekolahan berjumlah RM3,750 kepada Pertubuhan Jagaan Kasih Anak Yatim dan Anak Asnaf Kuala Nerang.
Dalam usaha memperluas akses kepada perkhidmatan perbankan, Bank Rakyat turut meneruskan perkhidmatan Ar-Rahnu on Wheels (ARROW), khususnya bagi pelanggan di kawasan pedalaman dan lokasi yang mempunyai kemudahan kewangan terhad.
Perkhidmatan Bank Bergerak Alor Setar yang diperkenalkan pada 2016 itu dinaik taraf kepada ARROW pada 2024 dengan penambahan perkhidmatan Ar-Rahnu.
Selain itu, kemudahan berkenaan menawarkan urusan pembukaan akaun, deposit dan pengeluaran tunai, pembayaran bil serta pemindahan dana tanpa memerlukan pelanggan mengunjungi cawangan bank.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














