POLITIK

PRN Melaka: Azman guna pendekatan Ziarah Kasih dekati pengundi Paya Rumput

AYER KEROH – Keperluan golongan berpendapatan rendah (B40) antara perkara yang diberi perhatian calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin dalam usaha memahami keperluan penduduk di kawasan itu.

Azman yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, pendekatan menerusi program Ziarah Kasih membolehkannya melihat sendiri permasalahan penduduk, khususnya di kawasan Paya Rumput yang bersifat separa bandar.

Beliau berkata, program berkenaan bukan sekadar aktiviti kempen, sebaliknya menjadi rutin untuk mendekati masyarakat dan memahami isu yang dihadapi mereka.

“Ziarah Kasih ini bukan hanya untuk kempen, tetapi untuk mendekati rakyat. Ziarah Kasih memang rutin biasa saya, bukan sahaja di Melaka, sebenarnya di seluruh Malaysia.

“Kali ini oleh kerana saya bertanding sebagai calon di Paya Rumput, saya melihat setiap Ziarah Kasih yang dilakukan sebagai peluang untuk melihat apa sebenarnya keperluan dan masalah yang dihadapi penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Ziarah Kasih sempena hari pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil di sini, hari ini.

Baca juga : PRN Melaka: Azman Abidin mahu guna pengalaman bersama PM bantu penduduk Paya Rumput

Menurutnya, beliau turut mengadakan beberapa kunjungan ke rumah penduduk pada sebelah pagi bagi mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai keperluan masyarakat setempat.

Katanya, kedudukan Paya Rumput sebagai kawasan separa bandar dengan jumlah penduduk B40 yang ramai memerlukan perhatian terhadap keperluan golongan berkenaan.

Mengulas persaingan dalam PRN kali ini, Azman berkata, setiap calon yang bertanding mempunyai kekuatan tersendiri dan beliau akan memberikan tumpuan kepada usaha mendekati seramai mungkin pengundi.

Beliau berkata, pendekatan berkempen secara baik serta menyantuni masyarakat menjadi keutamaannya bagi membolehkan penduduk mengenali dirinya dengan lebih dekat.

“Semua calon yang bertanding itu ada kekuatan masing-masing dan saya akan usaha secara baik untuk bekerja dan menyantuni seberapa ramai pengundi di DUN Paya Rumput ini agar dapat mengenali saya.

“Saya rasa dari segi rekod sekarang ini, kita zaman media sosial, semua boleh melihat rekod saya dan pengalaman yang saya ada,” katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata, pengalaman yang dimilikinya itu diyakini dapat dimanfaatkan untuk membantu penduduk sekiranya diberikan amanah dan kepercayaan untuk mewakili kawasan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button