Hanya BN, PH berupaya bentuk kerajaan selepas PRN Johor – Khaled Nordin
KLUANG – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjangkakan landskap politik Johor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 11 Julai ini akan menyaksikan pembentukan kerajaan oleh dua gabungan utama sahaja, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, perkara itu adalah realistik memandangkan kedua-dua parti berkenaan masing-masing bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau menjelaskan, PAS hanya bertanding di 11 kerusi manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di 16 kerusi, sekali gus menjadikan Perikatan Nasional (PN) bertanding di 27 DUN secara keseluruhan.
“PAS, BERSATU bercantum pun tetap tidak boleh tubuhkan kerajaan, yang boleh tubuh adalah BN dan PH. Sekiranya PN menang dan pada masa sama mereka bergaduh sesama sendiri ia akan menjejaskan rakyat.
“PAS kata tak nak sokong BERSATU, BERSATU pula kata terpulang, ini maknanya mereka terpaksa pakai logo PN kerana waktu sudah suntuk. Mereka tidak mahu bekerjasama, bermakna mereka tidak akan membentuk kerajaan negeri bersama,” katanya.
Beliau demikian ketika ditemui pada Karnival Hari Keluarga Kita Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di X Park Impiana 2 Square, Bandar Sri Impian, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, rakyat Johor memerlukan kerajaan yang kukuh bagi memastikan kesinambungan pentadbiran terdahulu serta keupayaan menangani cabaran semasa.
Beliau menegaskan, matlamat pilihan raya adalah untuk membentuk kerajaan yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat dan bukan menjejaskan kestabilan pentadbiran.
Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, matlamat pilihan raya adalah untuk memastikan rakyat memperoleh kebaikan sebagai asas demokrasi, maka proses tersebut tidak wajar disalahgunakan sehingga menjejaskan pencapaian matlamat asal pilihan raya.
“Matlamat pilihan raya adalah rakyat mahu keadaan lebih baik, mahu pilih kerajaan lebih baik. Kena ingat keadaan yang kita hadapi hari ini sangat kompleks,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













