SACC dijenama semula sebagai Selangor International Trade Centre
SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini mengumumkan penjenamaan semula secara rasmi Shah Alam Convention Centre (SACC) kepada Selangor International Trade Centre (SITC).
Menurut PKNS, ia merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan SA Sentral di Seksyen 14 yang bakal memacu transformasi dan peremajaan pusat bandar Shah Alam.

“Penjenamaan semula ini menandakan evolusi peranan pusat konvensyen berkenaan daripada sebuah lokasi penganjuran acara kepada sebuah hab perdagangan dan perniagaan yang lebih dinamik, berdaya saing dan berorientasikan masa hadapan.
“Menerusi SITC, PKNS berhasrat mewujudkan sebuah platform bersepadu yang menghimpunkan usahawan, pemain industri, komuniti perniagaan dan pelabur dalam satu ekosistem yang membuka ruang kepada jaringan strategik, kerjasama rentas sempadan, inovasi komersial serta peluang perdagangan dan pelaburan,” kata PKNS dalam kenyataan.
Tambahnya, sebagai platform perdagangan, konvensyen dan pameran utama di Selangor, SITC membawa aspirasi untuk menghubungkan perniagaan tempatan dengan pasaran serantau dan antarabangsa, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh kedudukan Selangor sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan.
“Kedudukan strategik SITC dalam pembangunan SA Sentral turut memperkukuh peranannya sebagai sebahagian daripada ekosistem bandar yang mengintegrasikan komponen perniagaan, komersial, sosial dan komuniti di tengah-tengah Shah Alam,” katanya lagi.

Seiring usaha peremajaan pusat bandar, PKNS turut merangka penjenamaan semula beberapa aset komersial dan komponen lain khususnya di Seksyen 14.
Menurut PKNS, setiap komponen akan diposisikan dengan identiti, karakter dan fungsi tersendiri bagi membentuk jenama SA Sentral yang lebih kukuh, tersusun dan saling melengkapi.
“Transformasi SACC kepada SITC dijangka memperkukuh kedudukan SA Sentral sebagai mercu tanda baharu Shah Alam, selain meningkatkan daya tarikannya sebagai destinasi perniagaan, perdagangan, pelaburan dan aktiviti komuniti.
“Lebih daripada sekadar perubahan identiti, penjenamaan SITC mencerminkan visi PKNS untuk memaksimumkan potensi aset strategiknya serta memperkukuh peranan Shah Alam dan Selangor dalam landskap perdagangan serantau dan antarabangsa,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








