PAS tegas perjuangan tolak perjudian di Kedah tidak akan terhenti
ALOR SETAR – PAS Kedah menegaskan perjuangan menolak kegiatan perjudian di negeri itu tidak akan terhenti meskipun Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung pengeluaran dan pembaharuan lesen premis perjudian.
Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya akur dengan keputusan mahkamah berkenaan, namun akan terus menyokong kerajaan negeri dalam mengambil tindakan susulan yang wajar.
“Insya-Allah, perjuangan ini tidak akan bertemu titik noktah di sini,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Menurutnya, PAS Kedah turut menyifatkan keputusan berkenaan sebagai sesuatu yang mendukacitakan seluruh rakyat negeri itu, terutama selepas kerajaan negeri berusaha menutup keseluruhan premis perjudian mengikut garis perundangan yang ada.
“Sangat ironi apabila langkah kerajaan negeri mengamalkan prinsip mencegah kerosakan dalam masyarakat dibantah oleh pihak tertentu sehingga mereka sanggup membawa kes ini ke mahkamah sejak dari awal.
“Inilah yang amat dikesali. Bagaimana ada pihak yang masih tegar mempertahankan jenayah perjudian dalam negeri meskipun usaha kerajaan menutup keseluruhan premis telah dilaksanakan mengikut garis perundangan yang ada,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Ahmad berkata, pihaknya akan terus mempertahankan prinsip amar makruf nahi munkar dalam aspek pentadbiran kerajaan negeri.
“PAS Kedah juga ingin menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan negeri atas apa jua tindakan susulan yang wajar diambil pasca pendirian daripada Mahkamah Persekutuan ini,” katanya.
Terdahulu, kerajaan negeri dilaporkan gagal memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung pengeluaran dan pembaharuan lesen premis perjudian di Kedah.
Pada 2022, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen premis perjudian di negeri itu menyebabkan lesen sedia ada tidak disambung selepas tamat tempoh.
Keputusan itu kemudian dicabar beberapa syarikat pengendali perjudian yang memfailkan tindakan di Mahkamah Tinggi Alor Setar, antaranya atas alasan kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghalang pengeluaran dan pembaharuan lesen berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
