RCI baharu Tabung Haji 2021-2025 perlu keputusan Kabinet, perkenan Agong
PUTRAJAYA – Kerajaan belum membuat keputusan berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu bagi menyiasat pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2021 hingga 2025, dengan cadangan itu perlu diputuskan Jemaah Menteri sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, dua keputusan perlu dibuat susulan laporan RCI berkenaan, iaitu di peringkat Jemaah Menteri sama ada untuk meneruskan atau mengembangkan tindakan berkaitan dapatan RCI.
Katanya, memandangkan RCI itu adalah Suruhanjaya Siasatan Diraja, perkara berkenaan juga perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Sebagai permulaan kita akan serahkan kepada pihak berkuasa seperti yang Perdana Menteri telah umumkan sama ada pihak PDRM, SPRM, AMLA, Bank Negara LHDN untuk melakukan siasatan penuh.
“Siasatan itu berdasarkan semua dapatan dan juga maklumat yang telah dimaktubkan dalam laporan serta maklumat tambahan yang telah dijawab oleh Menteri Kewangan Kedua dan juga Menteri Agama semalam sewaktu perbahasan mengenai laporan RCI Tabung Haji,” katanya.
Baca juga : Tindakan pembangkang keluar Dewan Rakyat ketika bahas RCI TH tidak bertanggungjawab – Fahmi
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangam Penajaan Rakan Strategik Sambutan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, di sini hari ini.
Semalam, beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mencadangkan RCI baharu dibuat bagi tempoh 2021 hingga 2025 kerana siasatan sedia ada hanya meliputi dari 2014 hingga 2020.
Mereka berpandangan RCI baharu itu perlu dibuat bagi menyiasat pengurusan TH dan pihak bertanggungjawab terhadap masalah kewangan serta pengurusan institusi itu.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, tindakan susulan akan mengambil kira semua dapatan serta maklumat yang terkandung dalam laporan RCI berkenaan, selain maklumat tambahan yang diberikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan ketika penggulungan perbahasan mengenai laporan RCI TH.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








