Isu tanah kerajaan: PH nafi kerajaan negeri berdiam diri
SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) menegaskan Kerajaan Negeri Sembilan tidak berdiam diri berhubung isu dakwaan pencerobohan tanah kerajaan negeri yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Ketua Penerangan PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan sebenarnya sudah mendapat perhatian kerajaan negeri sejak aduan diterima sekitar Julai 2022.
Beliau berkata, penjelasan berhubung perkara itu diperoleh daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bagi memastikan fakta sebenar dapat disampaikan kepada rakyat.
“Sejak aduan tersebut diterima, Pejabat Menteri Besar telah berhubung dengan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban serta mengenal pasti sebanyak 12 buah rumah yang didapati berstatus pencerobohan tanah kerajaan negeri.
“Daripada jumlah itu, ada rumah yang sedang diusahakan untuk pemindahan keluar, selain terdapat aduan baharu diterima oleh Unit Penguatkuasaan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban serta melalui Majlis Bandaraya Seremban,” katanya pada sidang media PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Menurut Fahmi, lima daripada rumah yang dikenal pasti itu telah ditawarkan rumah mampu milik kerajaan negeri dan proses pemindahan sedang berjalan.
Beliau berkata, bagi rumah lain yang terlibat, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban telah menyediakan maklum balas untuk dibawa kepada pertimbangan Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Bagaimanapun, seperti yang kita tahu, Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibubarkan pada awal Jun lalu menyebabkan beberapa keputusan perlu menunggu sehingga pembentukan kerajaan negeri yang baharu.
“Namun, maklumat yang diterima menunjukkan kerajaan negeri memang telah mengambil tindakan terhadap isu ini,” katanya lagi.
Fahmi berkata, penjelasan itu dibuat susulan penyebaran dakwaan di media sosial yang didakwa tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat.
“Kerajaan negeri bukan tidak mengambil tindakan. Malah tindakan juga telah diambil terhadap pihak yang cuba menyebarkan dakwaan palsu atau perkara yang tidak benar.
“Sebelum tempoh pilihan raya bermula, kerajaan negeri sebenarnya sudah mengambil langkah menangani isu ini, cuma beberapa keputusan perlu ditangguhkan berikutan pembubaran DUN,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















