Perikatan Barisan Nasional pandangan peribadi Hamzah – Annuar Musa
SEREMBAN – Cadangan menjenamakan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sebagai “Perikatan Barisan Nasional” yang dikemukakan Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin hanyalah pandangan peribadi dan belum pernah dibincangkan secara rasmi oleh kedua-dua gabungan.
Ketua Penerangan PAS, Tan Sri Annuar Musa berkata, cadangan itu dibuat secara spontan dan setakat ini tidak pernah dibawa ke peringkat perbincangan rasmi sama ada dalam PN mahupun BN.
Menurutnya, kerjasama yang terjalin ketika ini berkembang secara organik berdasarkan keperluan semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Itu adalah cadangan yang berniat baik, tetapi sebenarnya ia belum dibincangkan sama ada di peringkat PN atau BN.
“Kerjasama yang ada sekarang berkembang secara organik. Pada peringkat awal, ia bermula dengan persefahaman untuk mengelakkan pertembungan kerusi dan kemudian berkembang kepada pelbagai bentuk penyelarasan kempen,” katanya selepas Majlis Perasmian Pusat Media Perikatan Nasional bagi PRN Negeri Sembilan di sini hari ini.
Annuar berkata, antara bentuk kerjasama yang telah dilaksanakan termasuk penganjuran ceramah bersama melibatkan pemimpin kedua-dua gabungan serta penyelarasan manifesto.
“Wakil PN dan BN juga telah dilantik bagi membincangkan perkara berkaitan manifesto sehingga mencapai persetujuan untuk saling menyokong kandungan manifesto masing-masing.
“Selain itu, kita juga sedang menyelaraskan gerak kerja jentera bagi memastikan penyokong kedua-dua pihak keluar mengundi, termasuk di kawasan yang tidak ditandingi oleh salah satu gabungan.
“Kita tidak mahu di kawasan PN tidak bertanding, penyokong PN tidak keluar mengundi. Begitu juga sebaliknya,” katanya lagi.
Mengulas dakwaan bahawa kerjasama PN dan BN hanya berasaskan usaha mendapatkan kuasa, Annuar berkata, kuasa diperlukan untuk melaksanakan agenda yang memberi manfaat kepada rakyat serta memperkukuhkan kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Pilihan raya memang proses untuk memilih pihak yang akan memerintah. Jadi tidak timbul soal kita menafikan perkara itu kerana mandat rakyat diperlukan untuk melaksanakan dasar yang baik,” katanya lagi.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa gagasan penyatuan ummah yang dibawa PN bersifat perkauman.
Sebaliknya, Annuar menegaskan PN dan parti-parti komponennya terdiri daripada pelbagai kaum serta sentiasa mengamalkan pendekatan yang inklusif.
Dalam perkembangan sama, beliau menafikan dakwaan bahawa PN telah menetapkan calon Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri.
“Pendirian PAS jelas, sekiranya diberi mandat rakyat, soal calon Menteri Besar adalah perkara yang akan ditentukan melalui perbincangan dan cadangan pihak yang berkenaan.
“Tidak timbul sebarang polemik mengenai jawatan Menteri Besar ketika ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















