50 remaja perempuan diperkasa, belajar jana pendapatan melalui kraf
KUCHING – Seramai 50 remaja perempuan menyertai program pemerkasaan yang menggabungkan sokongan psikososial, kemahiran kraf tangan dan pendedahan kepada peluang menjana pendapatan.
Program Transformasi Dinamik Anjung Sinar dan Mindness Tour Kaunseling Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menerusi inisiatif Empowerment for Girls itu berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Oktober lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penjagaan kesihatan mental penting bagi membantu remaja perempuan mengurus emosi, membina keyakinan diri dan menghadapi cabaran kehidupan dengan lebih positif.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN berkata, aktiviti mengait bukan sekadar memberi peluang kepada peserta mempelajari kemahiran baharu, malah membantu mereka melatih kesabaran dan menenangkan fikiran.

“Melalui aktiviti seperti mengait, anak-anak bukan sahaja mempelajari kemahiran baharu, malah berpeluang melatih kesabaran, membina keyakinan dan menenangkan minda.
“Kita mahu mereka sedar bahawa kemahiran yang dipelajari hari ini juga boleh dikembangkan menjadi sumber pendapatan pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan program berkenaan di sini hari ini.

Program itu menghimpunkan remaja perempuan daripada institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), komuniti menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), anak-anak sukarelawan YKN serta keluarga berpendapatan rendah (B40).
Menerusi kerjasama Ran & Nong Creations dan Women Empowerment Arts Visions Expressions (WEAVE), peserta dibimbing mempelajari seni mengait atau crochet, termasuk menghasilkan patung kucing yang dikenali sebagai “Pusak Tembun”.
Sesi bimbingan itu dikendalikan Nur Rahmah Ranong Abdullah atau lebih dikenali sebagai Madam Ranong.
Selain mengasah kreativiti dan meningkatkan tumpuan, kemahiran berkenaan turut memberi pendedahan awal kepada peserta untuk menghasilkan produk kraf yang berpotensi dipasarkan sebagai sumber pendapatan.
Peserta turut diberi peluang mengasah kemahiran komunikasi menerusi persembahan nyanyian dan pengacaraan majlis bagi meningkatkan keberanian tampil di hadapan khalayak serta keyakinan mengekspresikan diri.
Sepanjang program, kaunselor PSSS YKN turut menyediakan bimbingan psikososial bagi membantu peserta mengurus emosi, membina hubungan positif dan menghadapi cabaran kehidupan.
Pelaksanaan program rintis di Kuching itu menjadi asas kepada usaha YKN memperluas pendekatan pemerkasaan remaja perempuan ke seluruh negara melalui gabungan latihan kemahiran dan sokongan psikososial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








