Peluang menang tipis, DAP tolak bertanding di Bemban
KUALA LUMPUR – DAP tidak akan mempertaruhkan sumber parti untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini, selepas menilai peluang kemenangan di kawasan itu sebagai tipis.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, keputusan itu dibuat atas pertimbangan strategik bagi memastikan parti memberi tumpuan kepada kerusi yang berpotensi dimenangi, termasuk empat kerusi penyandang daripada keseluruhan tujuh kerusi yang bakal ditandinginya.
Menurut beliau, Bemban merupakan satu-satunya kerusi yang ditandingi DAP pada PRN Melaka 2021 tetapi parti itu sekadar menduduki tempat ketiga.
Sebaliknya, DAP berada di tempat kedua di kerusi lain yang gagal dimenanginya dalam pilihan raya berkenaan.
“Kita mahu memastikan kekuatan dan sumber yang ada, termasuk tumpuan kita, diberikan kepada kerusi yang boleh dimenangi.
“Sebab itu kali ini kita hanya bertanding tujuh kerusi dan tidak bertanding di Bemban. Ini keputusan teknikal dan strategik yang dibuat parti,” katanya.
Keputusan itu turut menjadi perhatian susulan tindakan bekas Pengerusi DAP Melaka, Damian Yeo, memboikot kempen Pakatan Harapan (PH) bagi PRN berkenaan kerana mendakwa kemungkinan wujud persefahaman pilihan raya dengan BERSATU.
Yeo sebelum ini mendakwa dimaklumkan bahawa rancangan ‘PH Plus’ berkemungkinan menyaksikan PH memberi laluan kepada BERSATU untuk bertanding di Bemban.
Mengulas ketidakpuasan hati berhubung pembahagian kerusi, Loke berkata perbezaan pandangan sedemikian merupakan perkara biasa dalam sesebuah parti politik.
Beliau menegaskan keputusan mengenai agihan kerusi dan pemilihan calon ditentukan kepimpinan tertinggi parti, meskipun terdapat ahli yang mempunyai pandangan berbeza.
DAP, katanya, perlu memastikan strategi pilihan raya yang diputuskan dapat memaksimumkan peluang parti memperoleh kemenangan pada PRN Melaka kali ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







