
Keputusan rakan sekutu BN guna logo dacing dalam PRN belum dimuktamadkan – Ahmad Zahid
PUTRAJAYA – Keputusan sama ada rakan sekutu Barisan Nasional dibenarkan menggunakan logo dacing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang masih belum dimuktamadkan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, buat masa ini beberapa pihak sudah menyatakan hasrat menggunakan logo BN.
“… kita tidak menolak jika ada parti-parti lain dalam kesepakatan Kerajaan Perpaduan, jika mereka berhasrat untuk menggunakan lambang BN, namun ia belum dimuktamadkan.
“Hasrat itu ada (parti guna lambang BN) tetapi belum dimuktamadkan,” kata Ahmad Zahid yang juga presiden UMNO.
Beliau bagaimanapun berkata, Dewan Tertinggi BN telah memutuskan calon BN akan menggunakan lambang BN pada PRN nanti.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK), di sini hari ini.
Semalam, Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata BN sedang mempertimbangkan hasrat parti bersekutu dalam Kerajaan Perpaduan untuk menggunakan lambang dacing pada PRN akan datang.
Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Kedah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








