BERITA SEMASA

Kerajaan akan saman MyEG, Zetrix gagal bayar tunggakan hasil

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang termasuk saman sivil terhadap MyEG dan Zetrix AI Berhad berikutan kegagalan melunaskan tunggakan kutipan hasil serta penalti dalam tempoh ditetapkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kutipan kerajaan tidak boleh dijadikan dana operasi syarikat kerana kelewatan menyerahkannya melanggar terma perjanjian.

“Kerajaan kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang termasuk tuntutan saman sivil terhadap pihak syarikat (terbabit),” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat.

Siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini dijalankan berhubung dakwaan kegagalan memindahkan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM230.9 juta.

Kedua-dua syarikat turut dilaporkan mempunyai tunggakan RM314 juta kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagi mengelakkan kejadian berulang, kementerian dan JPJ sedang menambah baik sistem digital, termasuk MySIKAP dan MyJPJ, selain membincangkan mekanisme penyaluran kutipan terus ke akaun kerajaan bersama Kementerian Kewangan serta Jabatan Akauntan Negara.

Kerajaan juga bercadang menghentikan transaksi secara automatik jika ejen gagal memindahkan kutipan dalam tempoh 10 hari, selain mewajibkan jaminan daripada syarikat induk.

Perkhidmatan JPJ masih boleh diakses melalui kaunter, portal MySIKAP, aplikasi MyJPJ dan ejen dilantik lain.

Dalam perkembangan berasingan, Loke berkata tambang RTS Link Johor Bahru-Singapura akan ditetapkan pada kadar berpatutan dan tidak melebihi kos menggunakan kenderaan sendiri, khususnya bagi penunggang motosikal yang berulang-alik antara kedua-dua bandar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button