MH370: Operasi pencarian ditangguhkan, akan disambung hujung tahun ini
PUTRAJAYA – Operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 oleh Ocean Infinity ditangguhkan sementara dan akan disambung semula pada hujung tahun ini.
Penangguhan itu disahkan Menteri Pengangkutan, Anthony yang berkata keputusan itu dibuat susulan corak cuaca semasa di lokasi pencarian tidak sesuai untuk operasi.
“Ya, perjanjian itu telah ditandatangani minggu lalu. Mereka telah menghentikan operasi buat masa ini tetapi akan menyambung semula pencarian pada penghujung tahun ini,” katanya, semalam.
Sebelum ini kumpulan MH370 Families dalam hantaran di akaun kumpulan Facebook menyatakan, Ocean Infinity telah menangguhkan operasi pencariannya hanya tiga hari selepas menandatangani perjanjian dengan Kementerian Pengangkutan pada 25 Mac.
Hantaran tersebut berkata, syarikat berkenaan menghentikan pencarian pada 28 Mac disebabkan perubahan musim dan komitmen komersial yang tidak dapat dielakkan dan akan menyambungnya semula pada musim panas akan datang.
Sebelum ini, Kabinet Malaysia telah meluluskan secara prinsip cadangan Ocean Infinity untuk menyambung semula pencarian bangkai MH370 di kawasan baharu di selatan Lautan Hindi pada Disember tahun lalu.
Kehilangan MH370 sejak 8 Mac 2014 kini menjadi misteri terbesar dunia penerbangan.
Pesawat tersebut yang dalam perjalanan ke Beijing hilang daripada radar komersial kurang daripada sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Radar ketenteraan kemudian mendedahkan bahawa pesawat itu telah membuat pusingan 180 darjah, merentasi Semenanjung Malaysia ke arah Selat Melaka, sebelum membelok ke utara dan kali terakhir dikesan di utara Sumatera.
Analisis seterusnya menggunakan teknologi satelit mencadangkan bahawa pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu akhirnya berakhir di selatan Lautan Hindi.
Beberapa operasi pencarian sudah dilaksanakan sebelum ini namun tiada bangkai pesawat ditemukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















