BERITA SEMASA

Melecur, terhidu asap tebal punca 3 sekeluarga maut dalam kebakaran di Tambun

IPOH – Dua daripada tiga sekeluarga yang maut dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Desa Tambun, di sini awal pagi tadi, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan melecur, manakala seorang lagi maut akibat terhidu asap tebal.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, punca kematian itu dikenal pasti menerusi proses bedah siasat terhadap ketiga-tiga mangsa.

Menurutnya, tiga mangsa yang disahkan meninggal dunia pada jam 3.53 pagi ialah seorang wanita warga emas berusia 64 tahun serta dua lelaki masing-masing berumur 70 dan 18 tahun.

“Hasil bedah siasat mendapati dua mangsa maut akibat kecederaan kesan daripada kebakaran, manakala seorang lagi meninggal dunia disebabkan terhidu asap tebal,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Terdahulu, mangsa dikenal pasti sebagai Raja Ahmad Raja Ali, 70; Zaitun Mohamed, 64; dan Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18.

Seorang lagi mangsa, Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad, 47, dilaporkan selamat.

Muhammad Najib berkata, sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai kejadian.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya oleh bomba kira-kira jam 6 pagi.

“Punca sebenar kebakaran bagaimanapun masih dalam siasatan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button