BERITA SEMASA

Kebakaran PMU Kangkar Tebrau, bekalan elektrik pulih dalam 77 minit

KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan beberapa kawasan di sekitar Johor Bahru susulan kebakaran di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kangkar Tebrau berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 77 minit, semalam.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan kejadian itu berlaku pada jam 6.03 petang dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa lokasi termasuk Bandar Dato Onn, Taman Daya, Kempas, Bandar Ulu Tiram, Desa Tebrau serta Johor Jaya.

Menurut TNB, pasukan teknikalnya segera digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan kerja pemulihan bekalan secara berperingkat sehingga semua kawasan terjejas kembali menerima bekalan elektrik.

“Kejadian itu turut menyebabkan dua pekerja teknikal TNB yang berada di lokasi mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

“Kedua-dua pekerja berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Keluarga mereka juga telah dimaklumkan mengenai kejadian dan kini berada bersama mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, TNB memaklumkan punca kebakaran masih dalam siasatan terperinci oleh pasukan teknikal syarikat itu dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pihaknya turut memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Susulan gangguan berkenaan, kami memohon maaf kepada pengguna yang terkesan atas kesulitan dialami sepanjang tempoh bekalan elektrik terputus.

“TNB menghargai kesabaran dan kerjasama pengguna sepanjang proses pemulihan dilaksanakan,” tambahnya.

Sebarang pertanyaan atau permintaan maklumat lanjut boleh disalurkan kepada TNB CareLine menerusi talian 15454.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button