JENAYAH & MAHKAMAH

Warga emas rugi RM42,580 diperdaya ‘ustaz’ tawar gandaan wang

KUALA TERENGGANU – Seorang pesara wanita berusia 71 tahun kerugian RM42,580 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan yang menggunakan gelaran ‘ustaz’ untuk menawarkan skim gandaan wang menerusi Facebook.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asistan Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa mula tertarik dengan iklan berkenaan yang dilihat pada pukul 1.15 tengah hari, 7 Oktober lalu.

Menurutnya, mangsa kemudian meninggalkan nombor telefon bimbit di ruangan komen sebelum dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘ustaz’.

“Suspek kemudiannya meminta wanita warga emas itu menghubungi individu lain yang didakwa sebagai tuan gurunya bagi menyertai skim gandaan wang yang kononnya menawarkan pulangan RM300,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata, mangsa seterusnya diarahkan membuat pembayaran oleh individu yang didakwa sebagai tuan guru berkenaan untuk menyertai skim tersebut.

Akibat mempercayai tawaran itu, mangsa membuat lima transaksi berjumlah RM42,580 ke dalam empat akaun bank yang diberikan suspek.

Bagaimanapun, mangsa tidak menerima pulangan seperti dijanjikan, sebaliknya diminta memindahkan RM50,000 ke dalam salah satu akaun bank peribadinya sendiri.

“Mangsa mula curiga dan akhirnya menyedari dirinya sudah tertipu. Kali ini, pesara terbabit enggan menuruti arahan tersebut, sebaliknya membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga pada pukul 11.06 malam, kelmarin,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button