FELDA rugi RM10 bilion bukan kerana peneroka malas, tetapi salah urus dan campur tangan politik -PM
GEMAS – Kerugian hampir RM10 bilion yang ditanggung Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bukan berpunca daripada peneroka yang gagal bekerja keras, sebaliknya akibat salah urus dan campur tangan politik berlebihan oleh pihak yang diberi amanah mengurus agensi itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, FELDA pada suatu ketika dahulu diurus dengan cekap pernah muncul sebagai syarikat perladangan terbesar di dunia serta menjana keuntungan berbilion ringgit setiap tahun.
Katanya, kejayaan itu membolehkan keluarga peneroka menikmati pulangan dan hasil yang baik hasil usaha membangunkan tanah rancangan.
Namun tegasnya, kemerosotan Felda bukan disebabkan kegagalan peneroka, sebaliknya berlaku apabila individu yang diberikan amanah untuk mengurus agensi itu mengkhianati kepercayaan yang diberikan.
“Peneroka tak bekerja kuat? Tidak. Masalahnya orang yang diamanah itu khianat kepada amanah. Ini kenyataan yang ada sekarang,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin, di sini.
Anwar berkata, keadaan FELDA mula berubah kira-kira lapan tahun lalu susulan perubahan dalam keputusan serta campur tangan politik yang berlebihan sehingga agensi yang sebelum ini mencatat keuntungan RM10 bilion akhirnya mengalami kerugian pada jumlah yang hampir sama.
“Lapan tahun yang lalu, timbul perubahan keputusan. Campur tangan politik berlebihan. Akhirnya, yang untung RM10 bilion itu sekarang dah rugi.
“Saya sekarang ambil alih dan jaga FELDA. Sebab apa? Saya dapat laporan FELDA berhutang hampir RM10 bilion. Ini bukan politik, ini kenyataan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















