BERITA SEMASA

Bil elektrik tinggi: Kerajaan perlu dengar rintihan rakyat – Pemuda PAS Selangor

SHAH ALAM – Pemuda PAS Selangor menggesa kerajaan, Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta agensi berkaitan supaya mengambil serius keresahan rakyat berhubung kenaikan bil elektrik yang didakwa semakin membebankan.

Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, kerajaan perlu menunjukkan empati dan mengambil tindakan proaktif bagi membantu rakyat yang kini berdepan tekanan kos sara hidup.

Menurutnya, pihaknya mengambil maklum mengenai cabaran berkaitan kos bahan api global, penjanaan, penghantaran, pengagihan serta operasi sistem bekalan elektrik yang semakin mencabar susulan tekanan dan krisis dunia.

“Namun, cabaran ini tidak bermaksud pihak yang bertanggungjawab, khususnya kerajaan, tidak perlu mengambil tindakan proaktif dan di luar kebiasaan untuk membantu rakyat Malaysia yang sedang terkesan dan terhimpit dengan bil elektrik yang melambung, di samping tekanan kitaran kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, isu bil elektrik perlu diberi perhatian serius kerana hampir keseluruhan isi rumah di Malaysia bergantung kepada tenaga elektrik dalam kehidupan seharian.

Katanya, kegagalan mengurus isu berkenaan secara berkesan berisiko menambahkan lagi beban kewangan rakyat.

“Isu ini adalah isu kritikal dan mesti menjadi fokus kerajaan untuk duduk bersama agensi dan pihak berkaitan agar kebajikan dan kepentingan rakyat dapat dibela,” katanya.

Dalam pada itu, Pemuda PAS Selangor mahu melihat kesungguhan pihak bertanggungjawab dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat, termasuk memastikan pemain industri yang memperoleh keuntungan besar dapat mengecilkan margin keuntungan mereka.

Muhammad Faizzuddin turut menggesa kerajaan mempertimbangkan polisi dan dasar yang lebih kreatif tanpa membebankan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memastikan sistem bekalan elektrik negara diurus dengan lebih cekap dan setiap kos yang ditanggung pengguna benar-benar munasabah.

“Pemuda PAS Selangor berharap kepentingan rakyat dapat diutamakan berbanding kepentingan industri atau mana-mana kapitalis dunia yang sedang mengambil keuntungan di atas sumber tenaga negara kita,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button