‘Samsuri lebih baik daripada saya’ – Sanusi
CYBERJAYA – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak bersetuju sekiranya nama beliau dicadangkan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, ada calon lain yang lebih layak iaitu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, lapor portal FMT.
“Saya cadangkan calon yang lebih layak, Dr Ahmad Samsuri iaitu Menteri Besar Terengganu.
“Beliau lebih baik daripada pengerusi sebelum ini. Tidak perlu banding dengan saya,” katanya, hari ini.
Sanusi turut berkata, banyak faktor dan aspek perlu diambil kira apabila memilih seseorang pemimpin, dan bukan berdasarkan liputan media.
Pada masa yang sama, beliau turut memberitahu perbezaan antara dirinya dan Samsuri dari segi peranan dalam parti.
“Samsuri lebih baik daripada saya. Saya jeneral di medan. Kerja di peringkat akar umbi. Samsuri ahli strategi yang menguruskan hala tuju,” katanya lagi.
Semalam, Ketua Dewan Ulama, Datuk Ahmad Yahaya mengumumkan beliau bersetuju sekiranya Sanusi dicadangkan untuk jawatan pengerusi PN, begitu juga Pemuda PAS Selangor.
Meskipun terdapat tiga nama lain ditimbulkan iaitu Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Samsuri sendiri, Sanusi memperoleh sokongan terbuka dalam kalangan anggota PAS, setakat ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







