Motif serang guru di sekolah antarabangsa didedahkan Selasa depan
KUCHING – Motif serangan ke atas seorang guru wanita di sebuah sekolah antarabangsa, di sini semalam, akan didedahkan Selasa depan.
Bahagian Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dalam satu kenyataan berkata, satu sidang media akan diadakan selepas pegawai penyiasat melengkapkan siasatan mereka.
Menurutnya, kes berkenaan masih disiasat bagi mengesahkan fakta dan memastikan ketepatan maklumat yang dikumpul.
“Kami memohon kerjasama semua pihak untuk memberikan ruang kepada pasukan penyiasat bagi menjalankan siasatan yang menyeluruh,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Kelmarin, pelajar terbabit didakwa mencederakan guru berkenaan dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada pukul 8.03 pagi.
Siasatan awal mendapati, pelajar tersebut turut membawa mercun ke sekolah sebelum didakwa menyerang guru tersebut menggunakan sebilah kapak.
Akibat serangan itu, guru berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian tangannya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau bahan berbahaya, dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan.
Pelajar berkenaan kemudiannya berjaya ditahan dan dirujuk ke wad psikiatri Hospital Umum Sarawak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






