BERITA SEMASA

Lelaki maut terkena renjatan elektrik di kilang tinggal

TAPAH – Seorang lelaki tanpa identiti ditemukan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian di sebuah kilang pasir tinggal di Kampung Coldstream, Bidor, dekat sini hari ini.

Difahamkan kilang terbabit telah lama tidak beroperasi dan mangsa dipercayai orang awam yang memasuki premis berkenaan tanpa kebenaran.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor menerima panggilan pada pukul 11.30 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian bomba mendapati mangsa yang berusia sekitar 40-an terbaring tidak sedarkan diri.

“Ketua operasi yang menjalankan pemeriksaan mendapati terdapat arus elektrik di kawasan mangsa dan segera menghubungi bantuan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

Menurutnya, pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Pemeriksaan mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sekitar jam 1.35 petang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button