
Sultan Pahang lawat suami mangsa bunuh di HTAA
KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli melawat suami kepada wanita yang ditemui mati dipercayai dibunuh berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini.

Baginda menemui Mohammad Afiq Akhmal Nudin, 31, suami kepada Allahyarham Norshamira Zainal, 37, di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Baginda turut menenangkan Mohammad Afiq yang dilihat masih dalam keadaan sedih dan terkejut dengan pemergian isterinya.
Semalam, mayat Norshamira yang merupakan peniaga makanan ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur dalam keadaan mencurigakan.
Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa keluar untuk urusan penghantaran makanan (COD) kira-kira pukul 7.30 malam kelmarin.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, hasil siasatan bersama pakar patologi forensik HTAA mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.
“Identiti suspek sudah dikenal pasti dan pihak polis kini sedang giat mengesan seorang lelaki berusia 37 tahun yang menetap di sekitar daerah itu bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, usaha mengesan suspek sedang dipergiatkan dan pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







