JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar nyaris dijerat dawai selepas dipukul, seluar dilondeh

PASIR MAS – Seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di sini melalui detik cemas apabila dibuli sekumpulan rakan hingga cedera, seluarnya dilondeh dan lehernya hampir dijerat dengan dawai dalam kejadian semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi apabila enam pelajar Tingkatan Empat dipercayai bertindak di luar kawalan sebelum disedari seorang guru yang kebetulan lalu di kawasan tersebut.

Ibu saudara mangsa yang meluahkan rasa kecewa di Facebook mendakwa anak saudaranya ditampar, dipukul serta dipaksa menanggalkan seluar sehingga paras lutut.

“Lehernya hampir dijerat dengan dawai. Jika guru tidak sempat lalu waktu itu, mungkin anak saudara saya sudah tiada hari ini.

“Malam tadi pula, enam keluarga datang ke rumah ibu bapa mangsa untuk meminta kami menarik semula kes. Saya merayu, janganlah paksa, sebab apa yang dilakukan terlalu melampau,” katanya memetik laporan BH online.

Wanita itu berkata, meskipun pelaku masih berusia 16 tahun, tindakan mereka menunjukkan pemikiran yang tidak matang dan boleh mengancam nyawa orang lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed mengesahkan insiden berkenaan.

“Enam pelajar berusia 16 tahun sudah ditahan dan proses reman sedang dijalankan pagi ini. Kenyataan penuh akan dikeluarkan kemudian,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Kejadian itu sekali lagi menimbulkan persoalan sejauh mana masalah buli di sekolah mampu dibendung, selain menuntut tindakan lebih tegas agar insiden sama tidak berulang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button