BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Suspek gangguan seksual tiga pelajar MRSM ditahan polis

HULU SELANGOR – Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditahan polis selepas disyaki melakukan gangguan seksual terhadap tiga pelajar perempuan di asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin dalam kenyataan berkata, laporan berhubung kejadian diterima daripada tiga pelajar berusia 16 tahun pada pukul 4.16 petang semalam.

Menurutnya, mangsa yang juga rakan sekelas memaklumkan mereka diganggu secara seksual oleh seorang lelaki ketika berada di kawasan asrama.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyentuh mangsa tanpa kerelaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ibrahim berkata, suspek yang bukan warden asrama ditahan pada hari sama laporan dibuat, dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pagi ini bagi permohonan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau menegaskan polis memandang serius kes gangguan dan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak serta remaja, malah memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh.

“Kami menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkait kejadian seumpama ini supaya tampil membuat laporan agar tindakan tegas dapat diambil,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button