BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak perempuan cedera dipukul tukul besi, lelaki ditahan

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menggunakan tukul besi dalam kejadian di Flat Ungku Tun Aminah, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian itu disedari susulan penularan rakaman video berdurasi dua minit 20 saat di Facebook yang memaparkan mangsa mengalami pendarahan di kepala.

“Pada pukul 5.19 petang Sabtu lalu, pihak kami menerima laporan daripada orang awam bahawa anak perempuannya diserang seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihak polis telah berjaya menahan suspek pada pukul 7.25 malam hari sama di kediamannya sekitar Johor Bahru.

Mangsa segera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil, namun mengalami luka koyak di kepala serta bengkak pada tangan kanan.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah dan turut disahkan positif syabu,” jelasnya.

Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru dan direman selama tujuh hari hingga 2 Ogos bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya.

Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa bermain bersama rakan di kawasan bawah pangsapuri sebelum tiba-tiba menjerit kesakitan dan kelihatan berdarah di bahagian kepala.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button