DALAM era media sosial hari ini, segalanya boleh dijadikan ‘konten’ termasuk anak-anak sendiri. Ramai ibu bapa gemar berkongsi gelagat comel anak mahupun perkembangan mereka di platform seperti Instagram, TikTok dan YouTube.
Tidak dinafikan ada kandungan yang mencuit hati, mendidik dan menyentuh emosi. Kanak-kanak yang sering muncul dalam kandungan media sosial ini sama ada secara spontan atau dirancang kini menjadi fenomena.
Ada yang menjadi ‘tular’ menerima tajaan dan dijadikan wajah untuk kempen jenama. Namun, di sebalik ‘likes’ dan tontonan tinggi ini, wujud persoalan adakah kita menggunakan anak sebagai bahan tontonan awam tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap mereka?
Kehidupan di media sosial sering kali menonjolkan imej yang tidak realistik atau berlebihan. Jika kanak-kanak dibesarkan dalam suasana di mana setiap aspek kehidupan mereka dipaparkan di media sosial, mereka mungkin sukar untuk membezakan antara realiti dan persepsi yang dicipta.
Ini boleh membawa kepada kekeliruan identiti dan tekanan untuk mencapai standard hidup yang tidak praktikal. Kanak-kanak seharusnya dibesarkan dengan penekanan terhadap nilai sebenar kehidupan seperti berintegriti, rajin bekerja dan berkasih sayang daripada bergantung pada persepsi dunia maya.
Menjadikan kanak-kanak atau remaja di bawah usia sebagai bahan “konten” dalam media sosial adalah tidak wajar. Sebagai contoh satu kes membabitkan seorang pemandu bas sekolah yang menjadikan kanak-kanak sebagai kandungan media sosial mula membuka mata banyak pihak tentang keselamatan dan privasi anak-anak di era digital.
Tanpa disedari, perbuatan seumpama itu sebenarnya merupakan satu langkah ke arah ‘child grooming’ iaitu usaha memanipulasi kanak-kanak secara perlahan untuk tujuan tidak baik.
Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu tinjauan pada 2023, mendapati remaja berusia 16 hingga 19 tahun merupakan kumpulan paling tinggi menghidapi masalah kemurungan iaitu 7.9 peratus dan pakar psikologi berpendapat ia rentetan tekanan daripada penggunaan media sosial.
Menyiarkan imej atau video kanak-kanak di media sosial juga boleh membuka ruang kepada ancaman keselamatan seperti gangguan daripada pihak yang berniat jahat.
Kanak-kanak sering kali menjadi sasaran mudah untuk pelaku yang ingin mengambil kesempatan. Keselamatan digital adalah elemen yang sangat penting dan ini termasuk melindungi maklumat peribadi serta imej kanak-kanak daripada terdedah kepada orang yang tidak dikenali.
Bahkan, meletakkan imej atau video kanak-kanak di ruang terbuka seperti media sosial boleh mendedahkan mereka kepada risiko seperti penculikan identiti, peras ugut atau lebih buruk lagi menjadi sasaran pemangsa dalam talian terutamanya golongan pemangsa pedofilia.
Pendedahan yang berlebihan dalam media sosial bukan sahaja menjejaskan privasi, tetapi juga meningkatkan risiko gangguan dalam talian. Ini adalah sesuatu yang membimbangkan apabila kanak-kanak atau remaja terdedah kepada platform umum yang tidak dikawal.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk enam bulan pertama tahun 2024, sebanyak 288 kes kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak menerusi media sosial dilaporkan. Oleh itu, adalah penting untuk mengambil pendekatan yang bertanggungjawab.
Ibu bapa dan penjaga perlu melindungi anak-anak mereka dengan mengehadkan pendedahan peribadi mereka secara berlebihan dalam media sosial dan memastikan sebarang hantaran peribadi dibuat dengan berhati-hati dan bersesuaian sama ada dipihak ibu bapa mahupun anal-anak sendiri. Kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak harus menjadi keutamaan bukan hanya untuk menarik tontonan umum semata-mata.
Justeru, menjadikan kanak-kanak atau remaja sebagai bahan kandungan media sosial semata-mata untuk tujuan menarik tontonan umum atau mendapatkan keuntungan tanpa mempertimbangkan privasi, keselamatan dan hak mereka adalah tidak wajar.
Kanak-kanak memerlukan perlindungan, bukan pendedahan yang boleh merosakkan kehidupan mereka di masa hadapan. Sebagai orang dewasa yang matang dan bertanggungjawab, kita seharusnya memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang sihat dan selamat tanpa tekanan atau eksploitasi dari dunia media sosial.
Penulis: Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








