BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Perkhidmatan telco Kampung Salang pulih sepenuhnya selepas gangguan akibat cuaca buruk

PULAU TIOMAN – Perkhidmatan telekomunikasi di Kampung Salang, di sini yang terjejas akibat cuaca buruk sejak pertengahan Disember lalu kini telah pulih sepenuhnya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, gangguan perkhidmatan selular 2G dan 4G itu menjejaskan hampir 100 penduduk kampung berkenaan susulan kerosakan serius pada stesen pemancar selular.

“Perkhidmatan selular di Kampung Salang berjaya dipulihkan sepenuhnya pada 1 Januari lalu,” katanya.

Menurut MCMC, aduan berkaitan gangguan tersebut diterima daripada Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain serta penduduk setempat.

“Stesen pemancar selular di Kampung Salang yang diselia oleh CelcomDigi menggunakan teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN) mengalami kerosakan teruk, menyebabkan perkhidmatan CelcomDigi, Maxis dan U Mobile terputus sejak 17 Disember 2025,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, MCMC memaklumkan perkhidmatan jalur lebar tetap Unifi didapati beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh gangguan tersebut.

MCMC turut menjelaskan bahawa daripada keseluruhan sembilan stesen pemancar selular yang terdapat di Pulau Tioman, hanya stesen di Kampung Salang terjejas manakala lapan pemancar lain berfungsi dengan baik.

Menurut kenyataan itu lagi, faktor keselamatan dan perkhidmatan feri yang terhad sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) menyebabkan pasukan teknikal CelcomDigi hanya dapat tiba di Pulau Tioman pada 31 Disember 2025 bagi melaksanakan kerja-kerja penggantian peralatan yang rosak.

“MCMC akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi membantu penyedia perkhidmatan dari segi pengangkutan dan sokongan logistik, khususnya ketika musim MTL,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button