Joey BPR meninggal dunia akibat serangan jantung
KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Bumiputra Rockers (BPR), Johari Mat Rozekhi atau lebih dikenali sebagai Joey BPR, meninggal dunia pagi ini selepas dipercayai mengalami serangan jantung ketika mengadakan persembahan di Istana Budaya, malam tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.11 pagi, hari ini.
Berita duka itu dimaklumkan isterinya, Zarinah Zainal menerusi hantaran di Facebook.
“Assalamualaikum. Saya isteri kepada Johari Mat Rozekhi (Joey BPR) ingin memberitahu bahawa Johari telah kembali ke rahmatullah pada 29 Ogos 2026, 8.11 pagi sebentar tadi.
“Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Amir Sharifuddin menerusi satu hantaran turut memaklumkan bahawa Joey mengalami serangan jantung ketika mengadakan persembahan di Istana Budaya, malam tadi.
“Innalillahiwainnailaihirajiun, khabar duka buat kami sekeluarga dan peminat Joey BPR. Beliau telah kembali ke rahmatullah jam 8.11 pagi tadi asbab serangan jantung ketika mengadakan persembahan di Istana Budaya semalam,” tulisnya.

Beliau turut memohon agar orang ramai mendoakan keampunan buat Allahyarham serta memohon maaf bagi pihak arwah sekiranya terdapat sebarang kekhilafan atau kesalahan sepanjang hayatnya.
Dalam pada itu, sehari sebelum pemergiannya, Joey sempat berkongsi pengalaman ketika berada di Istana Budaya menerusi hantaran di Facebook.
Allahyarham meluahkan rasa terharu dengan layanan yang diterimanya termasuk diberikan tempat letak kenderaan berhampiran tangga masuk serta kemudahan bilik utama.
“Dia kata santai, tapi lebih dari VIP. Very special treatment. Aku betul-betul terharu,” tulisnya.
Joey merupakan vokalis kumpulan rock BPR yang antara lain popular menerusi lagu Aku Hanya Serangga, Dari Sinar Mata dan Seribu Tahun Takkan Mungkin.
BPR mula mencipta nama dalam industri muzik tanah air sejak pertengahan 1980-an dan muncul sebagai antara kumpulan rock popular pada era berkenaan.
Allahyarham yang dilahirkan dengan nama Johari Mat Rozekhi turut dikenali sebagai antara figura penting yang membawa nama BPR menerusi beberapa album seperti Selamat Pagi Malaysia (1986), Bisa (1987), Kelab Jiwa Luka (1990) dan Era 90-an (1991).
Walaupun sudah memasuki usia 60-an, Joey kekal aktif dalam bidang muzik dan masih membuat persembahan di pelbagai acara serta festival muzik.
Pemergiannya hari ini disifatkan sebagai kehilangan besar buat keluarga, rakan seperjuangan dan peminat muzik rock tanah air
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








