Rifdean mohon maaf, akui rakan pengiring kurang pengalaman di pentas ONE Championship
KUALA LUMPUR – Atlet muay thai negara, Rifdean Masdor memohon maaf kepada Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong susulan situasi yang boleh menimbulkan tanggapan beliau tidak profesional atau tidak serius dalam persiapan menghadapi Yoshinari Nadaka.
Rifdean mengalami kekecewaan di Tokyo apabila tewas kepada Nadaka menerusi Technical Knock Out (TKO) pada pusingan kedua di Ariake Arena, semalam.
Dalam kenyataan susulan, Rifdean menjelaskan beliau sebenarnya menjalani latihan intensif di sebuah gimnasium di Thailand sebagai persiapan menentang bintang Jepun itu.
Bagaimanapun, katanya, gimnasium berkenaan tidak dapat mengiringinya ke Jepun berikutan beberapa masalah teknikal yang tidak berkaitan dengan kewangan.
Susulan itu, beliau kemudian membawa beberapa rakan untuk membantunya sepanjang pertandingan.
“Memandangkan mereka kurang berpengalaman mengendalikan atlet profesional di pentas ONE Championship, saya memilih untuk tidak menjelaskan perkara tersebut secara terperinci ketika sidang media,” katanya.
Pada masa sama, Rifdean turut memohon maaf atas kenyataan terdahulu bahawa beliau hadir ke Jepun tanpa pasukan atau jurulatih.
Beliau menegaskan sudah memberikan komitmen dan usaha 100 peratus dalam persiapan untuk menentang juara dunia itu.
“Saya berjanji akan memastikan perkara seperti ini tidak berulang dalam perlawanan-perlawanan saya yang akan datang. Saya berharap penjelasan ini dapat memperbetulkan salah faham yang timbul. Terima kasih atas sokongan semua pihak,” katanya.
Atlet kelahiran Sarawak itu sebelum ini turut kehilangan peluang menjadi rakyat Malaysia kedua memegang gelaran dunia ONE Championship selepas gagal dalam ujian hidrasi, semalam, meskipun memenuhi had berat 115 paun (52.16 kilogram).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


