
Chap Goh Mei lambang harapan dan perpaduan – Aaron
KUALA LUMPUR – Sambutan Chap Goh Mei bukan sekadar penutup perayaan Tahun Baharu Cina, sebaliknya menjadi simbol harapan, kasih sayang dan kebersamaan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, setiap perayaan yang diraikan di Malaysia harus dijadikan ruang untuk mendekatkan hati, merapatkan jurang serta mengukuhkan nilai kekeluargaan merentas kaum dan agama.
Menurut beliau, kepelbagaian yang dimiliki negara merupakan aset tidak ternilai yang mesti dipertahankan dengan penuh kebijaksanaan dan keikhlasan.
“Chap Goh Mei bukan sekadar penutup sambutan Tahun Baharu Cina, tetapi lambang harapan, kasih sayang dan kebersamaan.
“Di Malaysia, setiap perayaan membuka ruang untuk kita lebih mendekatkan hati dan mengukuhkan nilai kekeluargaan merentas kaum,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau menegaskan, sensitiviti agama dan kaum tidak sewajarnya dipolemikkan atau dijadikan bahan yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
“Jika kita benar-benar mahu kekal harmoni, kita mesti sentiasa mencari titik persamaan. Faham dahulu sebelum bersuara, hormat sebelum bertindak.
“Apabila ada hormat, lahirlah penerimaan terhadap kepelbagaian,” katanya lagi.
Tambah beliau, negara yang bersatu padu ialah negara yang kuat, stabil dan diyakini, justeru perpaduan perlu dipikul sebagai tanggungjawab bersama oleh seluruh rakyat.
Sehubungan itu, beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Chap Goh Mei kepada masyarakat yang meraikannya dan berharap sinar perayaan tersebut terus menyatukan hati rakyat Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
