BERITA SEMASA

SPRM perkukuh kerjasama antirasuah dengan FCC Mauritius

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh hubungan kerjasama dengan Financial Crimes Commission (FCC), Mauritius menerusi lawatan kerja rasmi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman pada 12 hingga 14 Oktober lalu.

Lawatan tersebut menjadi platform bagi kedua-dua institusi berkongsi pengalaman dan memperluas pemahaman mengenai mandat serta pendekatan masing-masing dalam membanteras rasuah dan jenayah kewangan.

Dalam pertemuan dengan Ketua Pengarah FCC, T. Dawoodarry, Abd Halim menyatakan hasrat untuk meneroka kerjasama lebih erat antara kedua-dua institusi iaitu selepas perkenalan pertama mereka di 7th Plenary Meeting of GlobE Network di Vienna, Austria, Ogos lalu.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas sambutan mesra dan pengaturan program oleh FCC yang memberi ruang kepada delegasi SPRM untuk memahami dengan lebih dekat pelaksanaan tugas serta pengalaman pegawai suruhanjaya tersebut.

Lawatan kerja tersebut merangkumi perkongsian mengenai peranan dan mandat SPRM serta pengenalan kepada Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).

Delegasi SPRM turut turut diberi penerangan mengenai mandat FCC dan bertukar pengalaman bersama pegawai agensi berkenaan.

Antara bidang yang diberi tumpuan dalam sesi kerja berkenaan ialah siasatan rasuah, perundangan, pemulihan dan pengurusan aset serta pendidikan dan pencegahan.

Perkongsian tersebut turut membuka ruang bagi kedua-dua pihak mengenal pasti ruang kerjasama yang bersesuaian dengan keperluan institusi masing-masing.

Selain itu, program lawatan turut menyenaraikan pertemuan dengan Peguam Negara Mauritius, H.E Gavin Patrick Cyril Glover, SC, di Attorney General’s Office, serta Pengarah Pendakwaan Awam, Abdool Rashid Ahmine, SC, di Office of the Director of Public Prosecutions, Port Louis.

Dalam ucapan penutupnya, Abd Halim menzahirkan penghargaan atas keterbukaan FCC berkongsi pengalaman dan pandangan sepanjang lawatan.

Beliau berharap, hubungan baik yang terjalin dapat diteruskan melalui komunikasi dan penerokaan peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Abd. Halim setetrusnya turut mengundang T. Dawoodarry untuk mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat SPRM di Malaysia pada tahun depan bagi meneruskan perbincangan dan mempererat hubungan antara kedua-dua institusi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button