JENAYAH & MAHKAMAH

Saman fitnah: Akmal diperintah bayar RM300,000 kepada Teresa Kok

MELAKA – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membayar ganti rugi RM250,000 dan kos RM50,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung saman fitnah berkaitan video yang dimuat naik di media sosial pada September 2024.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Isa Aziz Ibrahim yang mendapati kenyataan dalam video berkenaan membawa maksud memfitnah plaintif dan melampaui batas kritikan terhadap dasar awam.

Akmal bagaimanapun tidak hadir di mahkamah ketika keputusan kes itu dibacakan hari ini.

Dalam penghakimannya, hakim berkata defendan gagal membuktikan pembelaan komen adil dan keistimewaan bersyarat yang dikemukakan bagi mempertahankan kenyataan berkenaan.

Mahkamah turut mengambil kira pengakuan defendan bahawa video itu dirakam ketika beliau berada dalam keadaan marah dan bertujuan membidas plaintif secara peribadi.

“Mahkamah berpendapat video berkenaan membawa unsur fitnah yang serius apabila plaintif digambarkan sebagai individu yang secara berterusan menggugat keharmonian negara,” katanya memetik laporan Utusan Online.

Selain memerintahkan pembayaran ganti rugi dan kos berjumlah RM300,000, mahkamah turut mengeluarkan injunksi kekal bagi menghalang Akmal daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah sama atau kenyataan lain yang membawa maksud serupa.

Mahkamah juga mengarahkan beliau memadamkan video berkenaan daripada semua akaun media sosial miliknya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah.

Teresa diwakili peguam, Datuk Sankara Nair, manakala Akmal diwakili peguamnya, Syahrul Syazwan Salehin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button