Dakwa hina Islam guna perkataan ‘lighad’, seorang individu disiasat MCMC
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap seorang individu berhubung kandungan yang disyaki menghina agama Islam menerusi platform media sosial Facebook.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, kandungan berkenaan dipercayai berkaitan penggunaan perkataan “lighad” yang merujuk kepada Surah al-Hashr, ayat 18, dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kandungan itu didakwa mempersendakan ayat suci al-Quran sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Susulan itu, MCMC telah merakam percakapan individu berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.
Dalam pada itu katanya, satu unit telefon bimbit berserta eSIM turut disita untuk tujuan pemeriksaan forensik.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
MCMC menegaskan bahawa kebebasan bersuara di media sosial perlu diamalkan secara bertanggungjawab dengan menghormati sensitiviti agama serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.
Suruhanjaya itu turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan platform digital secara berhemah dan tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Terdahulu pelbagai pihak tindakan Lim Sian See yang didakwa menghina al-Quran susulan komen berhubung penggunaan perkataan lighad oleh Perdana Menteri.
Bagaimanapun Sian See menafikan dakwaan itu dan mendakwa, komennya merujuk kepada perkataan lighad yang disenaraikan Sinar Harian sebagai antara perkataan unik dalam ucapan belanjawan, bukannya bertujuan memperlekeh ayat suci al-Quran.
Menurutnya, beliau mengulas penggunaan istilah berkenaan yang membawa maksud ‘untuk masa depan’ dan berpandangan bahasa yang lebih mudah difahami rakyat sepatutnya digunakan dalam pembentangan belanjawan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








