MCMC perkasa kesedaran siber di Sabak Bernam, 300 penduduk sertai Kempen Internet Selamat
SABAK BERNAM – Penyertaan kira-kira 300 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat menyerlahkan sambutan memberangsangkan terhadap usaha memperkukuh kesedaran keselamatan digital menerusi penganjuran Mini Karnival Kempen Internet Selamat Sabak Bernam di Balai Raya JPKK Kampung Parit 8 di sini hari ini.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menghimpunkan komuniti setempat, pelajar, golongan belia, ibu bapa serta kepimpinan komuniti dalam usaha memupuk budaya penggunaan Internet yang selamat dan bertanggungjawab.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Pembangunan Kampung Baharu Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Datuk Ng Suee Lim.
Dalam ucapannya, Suee Lim berkata, penganjuran Kempen Internet Selamat bukan sahaja bertujuan melindungi pengguna daripada menjadi mangsa jenayah siber, malah membantu mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab untuk semua lapisan masyarakat.
Menurut beliau, kempen itu turut memberi pendedahan mengenai pelbagai ancaman dalam talian termasuk judi dalam talian, buli siber, penganiayaan seksual kanak-kanak serta eksploitasi kanak-kanak yang semakin membimbangkan.
“Pendedahan terhadap isu-isu ini amat penting supaya masyarakat lebih peka dan mampu mengambil langkah pencegahan sebelum menjadi mangsa. Usaha mewujudkan ruang siber yang selamat tidak boleh dipikul kerajaan semata-mata.
“Kerajaan akan terus memperkukuh dasar dan inisiatif perlindungan pengguna serta memperluaskan pendidikan dan kesedaran digital, namun pada akhirnya setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan diri dan keluarga ketika berada dalam talian,” katanya.

Sementara itu, MCMC memaklumkan penganjuran mini karnival berkenaan merupakan sebahagian daripada siri pelaksanaan Kempen Internet Selamat di peringkat komuniti di seluruh negeri Selangor, selaras dengan komitmen berterusan MCMC dalam memperluas kesedaran berkaitan literasi dan keselamatan digital sehingga ke peringkat akar umbi.
Kempen Internet Selamat memberi penekanan kepada aspek keselamatan siber, perlindungan data peribadi, pencegahan penipuan dalam talian, etika penggunaan Internet serta tanggungjawab bersama dalam membendung penyebaran maklumat palsu dan kandungan yang memudaratkan.
Berteraskan konsep santai dan mesra komuniti, pelbagai aktiviti interaktif telah diadakan bagi menyampaikan mesej keselamatan Internet secara lebih mudah difahami.
Antara pengisian utama termasuk aktiviti mewarna bertemakan keselamatan Internet bagi kanak-kanak, sesi senamrobik komuniti serta aktiviti kesedaran dan libat urus bersama peserta.
@malaysiatribune Mini Karnival Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Sabak Bernam meriah dengan penyertaan 300 peserta dalam usaha memperkukuh penggunaan Internet yang lebih selamat dan bertanggungjawab. #malaysiatribune
Bagi memperluas impak Kempen Internet Selamat di peringkat akar umbi, seramai 32,461 ahli NADI daripada 13 pusat NADI di daerah Sabak Bernam akan berperanan sebagai ejen dan duta komuniti yang menjadi penghubung antara kerajaan dengan masyarakat setempat.
“Mereka akan membantu menyampaikan maklumat terkini, memperkukuh penyampaian inisiatif kerajaan serta meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan digital dalam kalangan penduduk,” menurut MCMC dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, melalui penganjuran berskala lebih kecil ini, MCMC terus komited memastikan mesej keselamatan digital dapat disampaikan secara lebih dekat dan berkesan kepada masyarakat setempat.
“Orang ramai turut diseru supaya sentiasa berwaspada ketika berada dalam talian, melindungi maklumat peribadi, tidak mudah terpedaya dengan tawaran atau pautan yang mencurigakan serta mendapatkan pengesahan daripada sumber yang sahih sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu maklumat,” menurut kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








