Siasatan dakwaan Mohd Shuhaily kasari dua anggota polis diteruskan
KULIM – Siasatan berhubung dakwaan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengasari dua anggota polis diteruskan selepas kertas siasatan dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas siasatan berkenaan sebelum ini diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum dipulangkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kertas siasatan itu mengandungi keterangan saksi serta bukti lain yang dikumpulkan sepanjang proses siasatan dijalankan.
“Itu prosedur siasatan biasa. Pada tahap ini, tidak ada ulasan daripada pihak saya melainkan saya serahkan kepada pihak berkenaan,” memetik BH online.
Sebelum itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata, beberapa aspek siasatan perlu diteliti dan dilengkapkan sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamadkan.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah pengesahan ketulenan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta beberapa perkara relevan lain yang timbul sepanjang siasatan.
Sementara itu, Saifuddin Nasution enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan video tular yang mendakwa lelaki Rohingya memasuki Malaysia menggunakan pasport Bangladesh.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan memberikan reaksi terhadap dakwaan yang belum disokong bukti kukuh.
“Saya tak mahu respons kepada khabar atau dakwaan. Kalau ada suatu hujah yang kuat, bukti yang terang, baru saya boleh respons.
“Tak ada dalam pengetahuan saya tentang masalah ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







