Polis panggil 3 individu bantu siasatan kes buli murid di Tenom
TENOM – Polis sudah memanggil tiga individu bagi membantu siasatan kejadian buli melibatkan murid perempuan berusia 10 tahun di sebuah asrama sekolah di daerah Tenom susulan penularan video kejadian berkenaan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, tiga individu yang dipanggil itu termasuk termasuk pelaku dan perakam video berkenaan.
BACA JUGA:
JPN Sabah siasat video tular didakwa kejadian buli
Beliau menambah, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pukul 8 pagi semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada perselisihan antara mangsa dan seorang pelajar perempuan berusia 11 tahun yang tinggal di bilik asrama yang sama dengannya.
“Mangsa dikatakan terlanggar tali ampaian pakaian sehingga menyebabkan pakaian milik suspek terjatuh atas tanah.
“Suspek kemudian memarahi mangsa sebelum menarik rambutnya dan membawanya masuk ke dalam bilik asrama sebelum memukul, menendang serta menarik rambut mangsa berulang kali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azmir berkata, ketika kejadian, dua lagi murid perempuan dipercayai merakam perbuatan berkenaan menggunakan telefon bimbit suspek utama sebelum video itu dimuat naik ke status WhatsApp suspek dua hari kemudiannya.
“Beberapa barang kes termasuk telefon bimbit yang digunakan turut dirampas. Mangsa sudah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala keterangan saksi serta pihak sekolah sedang dirakam,” katanya lagi
Azmir menambah, polis memandang serius sebarang bentuk buli, keganasan serta penyebaran kandungan yang boleh mengaibkan atau mengancam mangsa terutama membabitkan kanak-kanak.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan semula video kejadian kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta memberi kesan kepada kebajikan dan emosi mangsa yang masih di bawah umur,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






