BERITA SEMASA

JPN Sabah siasat video tular didakwa kejadian buli

KOTA KINABALU – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sedang melaksanakan siasatan dalaman berhubung dakwaan kejadian buli di sebuah sekolah di Tenom susulan penularan video kejadian berkenaan di media sosial, hari ini.

Menurut Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin, siasatan sedang dijalankan bagi menentukan sama ada kejadian tersebut benar-benar berunsur buli atau hanya berlaku secara spontan, lapor SH Online.

“Pihak sekolah telah pun mengambil tindakan dan oleh kerana pihak polis terlibat, kami serahkan kepada pihak polis dahulu untuk menyiapkan siasatan.

“Kita akan membuat satu siasatan menyeluruh sama ada perbuatan murid itu adalah perbuatan yang berterusan ataupun hanya berlaku secara spontan pada masa itu,” katanya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa tindakan akan diambil sekiranya siasatan mengesahkan wujud unsur buli, namun keputusan perlu berdasarkan hasil siasatan penuh.

“Kalau ia benar murid itu membuli, kita tidak boleh bertolak ansur dan akan ambil tindakan mengikut peraturan sedia ada,” katanya lagi.

Dalam masa sama katanya, JPN Sabah turut memberi sokongan emosi kepada mangsa yang terlibat sementara siasatan dijalankan.

“Kami akan memberikan sokongan emosi kepada kanak-kanak yang didakwa dibuli itu,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi satu minit 30 saat memaparkan seorang murid dipukul dan ditarik rambut dalam kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah sekolah di pedalaman Sabah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button